Khamis, 22 September 2011

         Apabila Tiba Masa Dan Ketika



Apabila tiba masa dan ketika, akan terlihatlah manusia akan sepuluh tanda. Muncullah asap, menjelmalah Dajjal, berkeliaranlah binatang, terbitnya matahari dari arah barat, turunnya Nabi Isa alaihissalam, keluarnya Ya’juj dan Ma’juj, terjadinya tiga gerhana dari arah timur, barat dan wilayah Arab, dan akhirnya muncul api dari Yaman (Adn) yang mengiringi manusia ke padang Mahsyar. [1]

Apabila tiba masa dan ketika, angin dingin dikirimkan oleh Allah dari arah Syam. Tidak akan ada lagi di atas muka bumi seorang yang dalam hatinya ada kebaikan dan keimanan meskipun seberat biji atom. Jikalau sekalipun salah seorang daripada mereka yang mempunyai keimanan itu memasuki ke dalam perut gunung, pasti angin yang dingin itu akan masuk ke dalamnya dan mencabut nyawanya (ruhnya) [2]

Apabila tiba masa dan ketika, yang akan tinggal pada waktu itu hanyalah seburuk-buruk manusia yang seringan burung berterbangan dalam melakukan maksiat, dan sebuas binatang dalam bermusuhan. Yang akan tinggal pada waktu itu adalah mereka yang tidak mengenal apa itu Makruf, dan tidak mengingkari kemungkaran. Lantas, yang menjadi pelindung mereka adalah Syaitan yang datang kepada mereka memberi tawaran perlindungan. Lalu, seburuk-buruk manusia itu menyembah berhala apabila mempercayai tipu daya Syaitan yang berjanji palsu dengan kehidupan rezeki yang melimpah ruah. [3]

Apabila tiba masa dan ketika, bertiuplah sangkakala, tinggallah harta yang melimpah, tinggallah rezeki yang banyak, tinggallah hidup yang gembira, tinggallah pelbagai taraf kehidupan dan darjat. Tinggallah semuanya.

Apabila tiba masa dan ketika, bumi Adn memuntahkan apinya yang dahsyat, yang memaksa manusia untuk lari menjauhinya. Api itu berjalan seperti berjalannya manusia, tidur seperti tidurnya manusia, siangnya seperti siangnya manusia, malamnya seperti malamnya manusia. Cepat! Cepat!, cukup! Cukup! Takkan ada yang berkata sedemikian, takkan ada yang mengeluarkan suara sedemikian. Kerana dek takutnya akan api yang menyala, mereka terus berlari. Berlari menjauhi api itu. Bagi mereka yang tidak berlari jauh, akan ditelannya hidup-hidup. Mereka terus menerus berlari lintang pukang menjauhinya, sedangkan api itu tidak sedikitpun padanm dan terus menerus mengekori mereka. Baik ke kanan mahupun ke kiri, tidak akan ada jalan bagi manusia untuk melarikan diri sehingga mereka akan diusir ke daerah Syam. [4]

Apabila tiba masa dan ketika, orang-orang kafir akan dikumpulkan di atas wajah-wajah mereka dan berjalan di atas wajah-wajah mereka. Mereka buta hingga tidak dapat melihat. Mereka bisu hingga tidak mampu berkata-kata. Mereka tuli hingga tidak lagi mampu mendengar. Yang berkata-kata hanyalah amalan mereka, tangan, kemana diletakkan, kaki, kemana dihalakan, mata bagaimana digunakan…

Apabila tiba masa dan ketika, goncangan hari kiamat itu sungguh dahsyat. Gunung-ganang lebur menjadi rata, bintang-bintang jatuh bertaburan, matahari akan digulung, anak yang sepatutnya disusukan terbiar kelaparan, wanita yang hamil dibiarkan keguguran, manusia lari bertempiaran, lintang pukang seakan mereka mabuk, padahal, tidaklah mereka mabuk tetapi, azab Allah itu yang sangat keras. [5]

Sebelum tiba masa dan ketika, amal ibadah diperbanyakkan semampunya, dari sekecil-kecil dosa hingga yang tiada ampunan untuknya, semampunya dijauhi semua. Moga beroleh keampunan, keberkatan dan keizinan untuk menghuni Syurga-Nya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan